Monday, November 26, 2012

Anak Accident... Doakan cepat sembuh

Salam,

Mohon maaf semua kerana tidak dapat ambik tempahan dan buat kelas untuk bulan November ini sebab anak kedua saya kemalangan. Status sekarang dah keluar dari wad ICU dan baru 3 hari sedar dan dimasukkan ke wad biasa. Kemalangan pada hari Sabtu lepas 17hb. sewaktu melintas jalan dilanggar oleh kereta. Patah kedua2 kaki dan tangan kiri serta bahu kanan. Perdarahan dalam perut sebab hati, limfa dan pankreas doktor kata pecah.  Minta tolong doakan anak saya supaya cepat sembuh.  InsyaAllah tempahan akan dibuka bulan Disember nanti. Minta sebarang tempahan dibuat melalui sms. Terima kasih semua.

Sunday, November 4, 2012

Bakul pastri dan Tart Buah




Hujung minggu lepas memang saya sangat sibuk. Hari Sabtu lepas saya pergi belajar kelas membuat bakul pastri dan tart buah dengan Arah, di Taman Puncak Jalil.  Kelas mula pukul 10 pagi dan pukul 6 lebih baru habis. Petang tu jalan jam pulak dan hujan sangat lebat. Tolong hantar Kak Shida kat Komuter Serdang sebab nak balik Perak (kawan yang belajar sama2). Hampir pukul 8 malam baru sampai rumah. Oh memang memenatkan tapi sangat gembira dan puas hati.  Kepada sesiapa yang pernah tanya dulu, mulai hari ini saya dah boleh terima tempahan bakul dan tart buah untuk dijadikan sebagai hantaran.  Dalam pukul 10 malam, saya sambung buat cookies tempahan dari Safea. Ada sikit lagi tak siap. Tapi jejak pukul 2 pagi juga baru siap. Janji Safea nak ambik Ahad.

Pagi Ahad pulak, selepas sembanhyang subuh, terus call adik, Ida untuk pegi pasar borong Serdang beli lauk pauk pulak. Hari Selasa dah nak bertolak ke UTM, Johor. Husband Isnin baru turun KL, jadi kena penuhkan peti sejuk sebelum tinggalkan husband dengan anak2. Jumaat baru dapat tupperware untuk freezer yang order dari kawan. Apalagi, saya memang teruja kerana peti sejuk saya dah kemas. Semua lauk pauk dah letak dalam tupperware yang sama saiz. Memang kemas dan cantik. Senang hati.

Kat pasar Borong lauk2 memang murah.  Saya ada beli sotong kecik cuma RM 4 sekilo. Saya beli setengah kilo, RM 2, cukup untuk sekali masak dan makan dengan anak2. Memang murahkan.  Ketam kat pasar borong biasanya dapat RM 18 sekilo tapi saya beli tempat yang biasa beli cuma dapat RM 15 sekilo. Murahkan! sebab tu saya suka pergi pasar borong.  Hari ini anak saya Arfa dan Ain ikut sama.  Anak2 saya pun memang suka ikut pergi pasar, jadi merekalah yang tukang bawa troley.  Lepas membeli belah, yang pasti saya akan pergi melepak, makan2 kat kedai makan depan pasar tu. Ada 2, 3 buah juga kedai makan kat situ.  Pukul 10 baru sampai rumah. 

Sebenarnya dah janji nak jumpa 3 orang dekat Tesco Ampang pukul 11 pagi. Saya nak jumpa orang yang nak beli cheese powder, nak jumpa Safea hantar cookies yang siap semalam dan nak beri cookies kepada .... (lupa nama) untuk food test saya punya cookies. Semasa singgah rumah letak lauk yang dibeli, Ida sempat ambik gambar bakul dan tart buah saya. Teruja dia tengok bakul dan tart buah tu dan sempat dia ambik 4 biji buah untuk makan dengan hubby dia.  Tepat pukul 11 pagi sampai kat Tesco Ampang, jalan lengang cepat pulak sampai. Selpas semua urusan selesai, pukul 12:30 tgh baru sampai rumah. Balik rumah terus mengemas rumah, dapur, dan memasak pulak. Pukul 3 lebih baru siap semua. Stop sembahyang zuhur dan barulah dapat berehat sebentar.  Malam sambung buat cookies tempahan dari Intan pulak untuk pos hari ini.  Sambil2 tunggu cookies masak sebelum mula mendeko, saya buat nasi lemak untuk anak makan pagi Isnin. Setakat hari ini ada lagi satu tempahan yang nak kena siapkan  lagi 2 minggu nak ambik. Itupun tempah ke 2 dari CT Tanjung Malim. Alhamdulillah, penuh jadual weekend selama 2 hari.

Cookies Mushroom



Ini tempahan cookies mushroom dari Intan, Pandan Indah. Saya buat flavour butterscoth oat.  Kalau sempat nak gi pos tengahari ni.

Thursday, November 1, 2012

Bulan Mengemas



Bulan ini memang bulan mengemas saya. Saya saja ajer cerita dalam blog sebab nak beritahu kat kawan2 projek hujung minggu di dapur. Tak tahu kenapa bila masuk dapur perasaan rasa serabut tengok barang2 yang dibeli terikat sana, terikat sini dengan plastik dan berserabut atas rak/peti. Tiba2 terbuka hati nak singgah kedai cosway dekat rumah. Wow! tengok bekas sebijik macam jenama tupperware dan harganya lebih murah. Apa lagi, mulalah saya buat borongan bekas kedap udara dan sebagainya. Tengoklah! dah kemas pun dapur saya dan senang nak guna/cari .  Nanti tiba datang mood rajin, saya nak buat labelling pulak :).

Tempahan kali ke2 dari Fadilah N9


Ini tempahan kali ke2 daripada fadillah, Negeri Sembilan.  Semalam adiknya yang tinggal kat KL datang ambik.  Katanya nak guna untuk 17hb Nov 2012. Warna dan riben pun itu atas pilihannya sendiri. Dah siap semua, anak2 perempuan saya puji, katanya cantik. Bila dah siap deko dan letak riben, memang nampak cantik. Harap Fadilah puas hati.

Tuesday, October 30, 2012

Tempahan daripada Safea



Ini adalah tempahan dari Safea untuk hari pertunangannya 13hb (Deepavali). Dah janji untuk ambik 4hb, Ahad ini.  Sebenarnya, saya baru siapkan 50 bungkus dan nak kena buat lagi 100 bungkus dan perlu di siapkan sebelum 4hb. Ini gambar untuk sebahagian saja cookies yang saya dah siapkan. Tema biru. Pandangan saya bila dah banyak2 saya nampak cantik pulak warna cookies ini. Memang menyerlah tapi dalam gambar tak nampak sangat.

Tempahan untuk bertunang daripada Shima



Ini tempahan dari Shima, manjung Perak untuk hari pertunangannya. InsyaAllah sebelum bercuti saya akan poskan cookiesnya ini. Selamat bertunang Shima!

Sunday, October 28, 2012

Tempahan daripada Eva



Ini tempahan dari Eva. Beliau tempah huruf LUQMAN, 50 bungkus, permintaan color selang seli hitam dan biru dan buat spider web color putih. Beliau tak mahu bentuk polkodot. Saya nampak serabutlah pulak. Tak nampak dah ejaan nama LUQMAN. Tapi harap Eva ok boleh terima. Eva juga menempah 60 bungkus cartoon cookies gambar muka spiderman. Yang ini saya suka.  Seronok dan semangat saya melukis gambar muka spiderman. Beliau kata nak ambik sebelum 1hb Nov. Tapi Sabtu tu beliau dah mesej tanya pasal cookiesnya. Jadi Sabtu dan Ahad tu juga saya siapkan cookies Eva. Petang Ahad 28hb Eva dah datang ambik cookiesnya.  Setakat hari ini ada lagi 2 tempahan saya nak kena siapkan dan perlu di pos sebelum minggu depan sebab minggu depan dah nak ke Johor dan minggu Depavali tu pulak dah balik kampung.

Tempahan huruf "INESA"






Ini tempahan untuk anak saudaranya yang berumur 1 tahun, "INESA".  Janji ambik hari hari Sabtu 27hb. Tema color rainbow pastel tapi disebabkan warna merah dah kuning tu tak nampaklah pastel sangat. However, Happy birthday to INESA.

Kreativiti ... Jimat.....

Seluar sekolah koyak kat lutut

close up - seluar yang ditampal

Seluar yang telah ditampal
Hari ini saya nak cerita pasal seluar sekolah anak lelaki saya, Adib. Anak saya ini memang lasak. Hairannya dua bulan ajer beli seluar sekolah mesti koyak kat lutut. Macamana boleh koyak pun saya tak tahu. Sudah cuba jahit, terkoyak lagi.  Dalam fikiran saya, dah budget untuk tahun depan, 2013 kena tambah lagi 2 helai seluar panjang, Sehelai dalam RM 30 (itupun bukan jenama mahal). Kalau 2 helai dalam RM 60 juga. Tapi dengan sedikit kretiviti untuk menampal seluar cuma bahagian yang terkoyak ajer, akhirnya saya jimat hampir RM 60. Tengoklah gambar diatas. Tahun depan tak jadi beli seluar kerana selepas ditampal seluar sekolah masih boleh diguna lagi. Jadi saya nasihatkan kepada ibubapa yang mempunyai anak2 lasak yang seluar sekolah selalu koyak dilutut, buatlah tampalan macam saya, jimat....... :)

Wednesday, October 24, 2012

Tepung Majik

Sesiapa yang berminat untuk membeli tepung majik sekarang boleh dapatkan dari saya. Tepung majik ini digunakan untuk menggoreng ayam, cendawan, kentang dan lain lagi. Kelebihannya adalah keranggupannya kekal lama. Nak tahu sedap atau tidak. Marilah cuba dulu :).

Tuesday, October 23, 2012

Pengumuman tempahan cookies

Tinggal lagi 2 hari kita nak sambut Hari Raya AidilAdha pulak.  Disini saya nak ucapkan Selamat Hari Raya Haji buat semua umat islam. Dekat hujung tahun ini kerja pun banyak.  Kepada sesiapa yang nak tempah cookies sila buat tempahan awal yer sebab bulan November ni saya banyak outsation pulak. Saya akan ke UTM Johor ada seminar dari 6 - 9/11/2012.  10 -17/11/12 bercuti balik kampung seminggu sempena cuti sekolah. Minggu ke 3 akan ke Perak dan ke 4 akan ke Terengganu.  Jadual kerja bulan November ini memang sibuk.  Harap sesiapa yang yang nak buat tempahan cookies kena lah confirm awal.  Kalau ambik awal pun tak apa sebab cookies saya tahan 3 -4  bulan.

Sunday, October 7, 2012

Tempahan daripada ZIAN ZURIN







Ini tempahan daripada Zian untuk jamuan 27hb Oktober 2012. Memandangkan saya akan outstation mula 10hb, saya dah siapkan awal. Hari ini dah boleh pos. Beliau tempah huruf nama ZIAN tema warna hijau pink, cookies gitar warna pink dan cookies bentuk cupcake. Untuk cookies cupcake beliau tak beritahu nak warna apa.  Itulah sebabnya saya buat colourful.  Saya memang suka cookies yang colourful.

Thursday, October 4, 2012

Tempahan cookies cartoon POCOYO




Ini tempahan dari Raja Noor Azilah, Ampang. Alhamdulillah, tengahari tadi dah pos. Beliau nak guna 12hb tetapi memandangkan 10 - 19hb Oktober 2012 saya outsation (Perak + Terengganu), jadi saya siapkan dan pos awal-awal.  InsyaAllah biskut saya masih tahan lebih dari 3 bulan walaupun tak ada bahan pengawet. Macam biskut raya, tahan lama jugakan. Beliau tempah cartoon POCOYO + PATO +ELLY.  Saya sendiri pun banyak kenal karaktor kartun dari customer yang menempah :).

Tadi pun saya pos juga spell my name cookies tempahan dari Melaka. Beliau cuma tempah " I MISS YOU UN".  Cuma 10 huruf. Saya beritahu dia harga pos pun lagi mahal dari harga cookies takut tak berbaloi nak tempah.  Tapi dia nak juga. Jadi saya letak dalam bekas biskut raya supaya tak mudah pecah. Alhamdulillah dah selamat pos.

Bila direnung..... bila sampai satu tahap, kita sanggup buat apa saja untuk kebahgiaan diri kita. Wang ringgit sudah bukan jadi satu isu.  Macam saya sendiri, tak sabar nak berhenti kerja. tunggu green light dari husband ajer. Orang nasihat saya, sayang berhenti kerja sebab gaji dah beribu-ribu tapi....  bila sampai satu tahap kita cuma akan fikir untuk kebahgiaan hidup dunia dan akhirat sahaja. wang ringgit dah tiada makna.

Thursday, September 20, 2012

Tempahan dari Soraya


Ini tempahan daripada Soraya. Beliau mesej saya katanya sebelum ini dia ada tempah juga. Saya pun tak ingat sebab banyak sangat tempahan.  Walaubagaimanapun, saya nak ucap terima kasih kepada Soraya atas sokongan anda kepada saya. InsyaAllah Sabtu ni kita jumpa kat Petronas Tesco Ampang untuk hantar cookies.

Spell my name "QASEH"


Ini tempahan daripada Kak Lin. Anak kawannya Jumaat 14hb September nak nikah. Khamis 13hb baru tempah.  Sebab kesian dan dah biasa dengan Kak Lin saya ambik juga tempahan tapi dengan syarat cuma 50 bungkus. Jumaat tu pukul 3 pagi baru tidur . Satu tengahari jumpa Kak Lin kat LRT Tasik Selatan hantar cookies dan terus pegi open house rumah kawan.  Oh... memang mengantuk sebab sempat tidur 3 jam ajer. Balik kerja lepas Insyak ajer saya terus tidur. Bestnya dapat tidur....

Thursday, September 13, 2012

Tempahan cc dari Dr Sue




Sebenarnya ini tempahan Cup Cake dari Dr. Sue 2 minggu lepas. Memang tak ada idea nak deko apa masa tu. At last saya buat ajerlah bentuk bunga ros biru dan merah. Pukul 3 pagi juga baru tidur sebab Dr Sue nak ambik hari bekerja.

Tuesday, September 4, 2012

TQ Qiqin

Ini email dan gambar yang dihantar oleh Qiqin. Terima kasih banyak2. Akak masukkan dalam blog supaya boleh jadikan contoh untuk orang lain.

Email dari Qiqin ; "Ni cookies yang saya order dari akak, dalam dulang hantaran. :)
Suka sangat! thanks kak"

Wednesday, August 15, 2012

SelamaT HarI RayA

Di kesempatan hari yang mulia ini, kepada kawan2 dan semua yang pernah berurusan dengan saya, saya ingin mengucap Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin jika ada tersilap kata, perbuatan atau terkurang/terlebih semua perkara semasa berurusan dengan saya dalam urusniaga cheese powder dan cookies. Selamat bergembira di Hari Lebaran nanti.

Marble Cheese Cake dan Cheese tart

Marble Cheese Cake Moist

Marble cheese Cake Gebu

Cheese Tart
Alhamdulillah, semalam dapat juga siapkan 2 jenis mable Cheese Cake dan Cheese tart untuk bawa balik kampung hari ini.  Bapa mertua saya memang suka saya punya marble cheese cake.  Kali ini saya buat 2 jenis iaitu yang moist dan yang gebu. Kedua-dua jenis kek ini, hendaklah disimpan dalam peti sejuk baru kek rasa betul2 moist. Lagipun kek itu berasaskan cheese memang kena simpan dalam peti sejuk baru tahan lama. Semalam juga saya dah siapkan cheese tart sebanyak 2 tray. Anak saya Arfa yang letak blueberry dan cheese cream, itu yang nampak comot2. Saya pukul 3 pagi baru tidur selepas semua siap.  Hee...hee... sebenarnya selepas sembahyang maghrib terus tidur dulu dan dalam pukul 11 baru start buat.  Sebenarnya nak kata tidur betul2 tak adalah sebab anak2 asyik kejut tanya pukul berapa nak buat kek. Mereka tak sabar sebenarnya nak makan cheese tart. Adib sebelum tidur pukul 3 pagi sempat lagi makan cheese tart... tak sabar2 dia nak merasa makanan favourite dia tu.

Boboiboy.... Tempahan dari Shikin


Semalam akhir dapat juga saya hantar kepada Shikin cookies Boboiboy yang ditempah sebanyak 70 keping. jenuh juga melukis cookies ini.  2hari juga tidur pukul 1 pagi siapkan deko cookies tersebut. Memang mencabar betul kalau deko gambar muka. Nasib baik shikin suka. Selagi tak siap tempahan orang, memang hati ni rasa tak tenang jer :(. Selepas ini nak siapkan kek untuk raya pulak.

Monday, August 13, 2012

Tempahan dari Qin Perak





Alhamdulillah, sempat juga saya pos cookies Qin dari Perak. Beliau nak guna 29hb ini untuk majlis perkahwinan. Minggu depan saya balik kampung seminggu. Itu yang minggu ini siapkan dan terus pos.  Pos laju pun esok last beroperasi 15hb dan penghantarannya lepas raya. 16hb saya dah bertolak ke kampung.  Tinggal satu lagi tempahan yang nak kena siapkan. InsyaAllah malam ini siapkan dan esok dah boleh beri.

Sunday, August 12, 2012

Pengumuman... Cheese Powder Lepas Raya

Pengumuman,  semua belian runcit atau borong Cheese Powder adalah hanya boleh dibuat selepas Raya sebab saya akan bercuti  di kampung sehingga 26 Ogos 2012.

Tuesday, August 7, 2012

Resepi 9 jenis biskut

 2. Biskut Bunga cina

Biskut ini orang zaman dulu suka buat. Sangat rapuh dan cair di mulut.  Susah nak dapat resepi ini.  Ini pun dah lama berada dalam simpanan saya yang diambil dari keratan akhbar dan tiap2 tahun saya membuatnya. Rasanya anda patut mencuba untuk merasa kelainan rasa biskut.


Bahan:

100gm marjerin
90g gula kastor
1 biji telur
2 cawan tepung jagung
1 cawan tepung ubi

Cara:
Pukul marjerin dan gula hingga kembang. Masukkan telur dan gaul hingga sebati. Dan kemudian masukkan tepung jagung dan tepung ubi.  Picit adunan atas loyang guna acuan bunga dan siap untuk dibakar pada suhu 180'C selama 15 minit. (Bergantung pada oven)


 3. Biskut Buble rice coklat



Biskut ini paling senang nak buat.  Caranya, double boil coklat masak dan selapas coklat cair, masukkan bubble rice. Boleh masukkan badam panggang dan kismis. Apabila semua bahan dah digaulkan, masuklah dalam bekas2 kecik. Senangkan.

4. Biskut Coklat Cip (sumber Hanieliza tapi telah diubah suai)


Bahan:
250g Mentega
1 sudu besar shortening
160g gula kastor
1 biji kuning telur
1s/k esen vanila
230g tepung gandum
20g serbuk koko
100g coklat cip
50g badam
50g nestum

Cara:
1. Gaulkan mentega, shortening dan gula hingga sebati.
2. Masukkan kuning telur dan esen vanila. Gaul lagi.
3. Masukkan tepung gandum, serbuk koko dan nestum perlahan2.
4. Akhirnya masukkan badam dan coklat cip
5. Bakar dalam oven suhu 180"C selama 25 minit atau sehingga masak.
6.Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara.

Biskut ini ranggup dan sedap.  Anda boleh mencuba.

5. Biskut Sugi Salju

Ini resepi saya ambik dari blog maklang. Dah rasa sample orang bagi dan rasa sedap.  Itu yang saya search dalam internet dan jumpa yang maklang punya resepi.  Tak silap mak gebu pun guna resepi sama. mat gebu pun cakap biskut ini memang sedap. Anda mesti cuba.

SUJI SALJU

A.
150g minyak sapi
100g butter
100g gula castor
1st esen vanila
1 biji kuning telur

B.
100g cornflakes - kisar halus
100g tepung jagung
50g tepung suji
280g tepung gandum - curah skit2 dulu sampai senang diterap

HIASAN: 150g tepung susu (mklang guna susu eveready, jadi takyah ltk icing lagi sbb manis sedang elok)
50g gula icing

Cara1. Sebatikan semua bahan A
2. Masukkan semua bahan B dan uli menjadi doh yg lembut.
3. Canai dan terap. Bakar pd suhu 150 selama 25' (ikut oven masing2 eh)
4. Dah masak, sewaktu masih panas gaulkan dengan campuran susu dan icing


6. Biskut valentino


7. biskut hazelnut


 8. Biskut Oren coklat Cip

Biskut ini saya dah beri resepi dalam entry sebelum ini.

 9. Biskut Cornflake Madu

Ini juga biskut paling senang nak buat. Cairkan marjerin, gula dan madu atas api perlahan. Berapa banyak? Boleh agak2. Bila dah mengelegak tutup api dan gaulkan dengan conflake. Masukkan juga kacang dan kismis jika suka. Akhirnya masukkan dalam bekas kecil dan bakar selama 10 minit dengan suhu 180'C. Apabila sejuk bolehlah dimasukkan dalam bekas kedap udara.

9 jenis biskut dah siap

Alhamdulillah, dah 3 hari air ada, sejak Sabtu lepas. Dalam 3 hari ini pun tidur dah tak mengigau.  Anak tanya kenapa ibu mengigau. Apa tidaknya... penat angkut air.

Hari Ahad, saya cepat2 siapkan biskut raya yang terbengkalai.  Dah kira, ada 9 jenis dah siap.  Bahan2 pun banyak lagi. oklah saya tunjukkan resepinya.





1 Biskut Cornflake pelbagai kacang

Bahan:
250g mentega
180g gula kastor
2 camca teh esen vanila
2 biji kuning telur
210g tepung jagung
150g tepung gandum
180g conflake (dihancurkan)
50g badam cincang

Cara:
1. Mentega dan gula di masukkan dalam bekas dan di pukul hingga kembang (sebati).
2.Masukkan telur dan esen vanila. Kacau sehingga sebati.
3.Masukkan tepung gandum, tepung jagung dan akhirnya masukkan cornflake dan kacang badam. Adunan di kaup balikkan sehinga serata semua.
4.Ambik sesudu adunan, bulatkan dan diletak diatas bekas pembakar.
5.Bakar dalam ketuhar bersuhu 180 selama 20 minit atau kekuningan.
6.Biarkan sejuk sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.


Selamat mencuba!! Ini memang biskut kegemaran suami dan anak2.  Hari tak raya pun saya buat juga jika husband request nak makan biskut ini.  Satu balang dah dirembat oleh husband dan anak2. Sekarang tinggal satu balang lagi. Kacang boleh pelbagaikan.  Kali ini saya buat adunan yang ada kacang kuaci ajer.  Yang ada badam dan kuaci dan yang ada kacang badam ajer. Resepinya sama cuma kacang berbeza.